For a better experience please change your browser to CHROME, FIREFOX, OPERA or Internet Explorer.
PANDU UJI: HONDA CITY RS 2020 GEN 5 KOD GN1

PANDU UJI: HONDA CITY RS 2020 GEN 5 KOD GN1

Honda City sebenarnya mula menjengah pasaran Jepun pada tahun 1981. Memiliki  saiz jauh lebih kecil berbanding model sekarang, ia tidak ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia sehinggalah ia masuk ke generasi ketiga.

Percaturan Honda Malaysia untuk memperkenalkan City nyata satu Langkah bijak.  Jentera itu pantas menjadi model paling laris Honda dan diterima baik oleh pengguna di sini.

Popularitinya banyak disumbangkan oleh reka bentuk yang menarik, terknologi terkini dan rangkaian kuasa yang menjimatkan bahan api.

Setiap generasi City pasti akan menerima perubahan besar, sebab itulah ia menjadi model yang sangat ditunggu-tunggu.

City generasi ke-5 dengan kod GN1 ini tidak terkecuali. Kalau diikutkan, ia sepatutnya sudah dilancarkan, tetapi penularan wabak COVID-19 membuatkan perancangan terpaksa ditangguh.

ADVERTISEMENT

Jangan risau, kerana City akan dilancarkan tidak lama lagi dan saya menjadi antara individu terawal berpeluang menguji jentera itu di Melaka International Motorsports Circuit (MIMC) kelmarin.

Jadi, best sangat ke sedan ni?

Gayaan luaran

City yang dipandu uji itu merupakan varian paling tinggi iaitu eHEV RS atau kita boleh panggil RS sahaja. Ia merupakan model RS kedua yang ditawarkan oleh Honda Malaysia selepas HRV RS dua tahun lalu.

Bahagian hadapan sedan itu diserlahkan dengan gril dan kemasan honeycomb berwarna hitam. Untuk varian lebih rendah, kemasan itu dikatakan hadir dalam warna krom.

Gril itu kemudian diapit oleh sepasang lampu utama dan nyalaan siang (DRL) LED nipis. Di bawahnya, terletak pula sepasang lampu kabus yang dipasang di dalam perumah berwarna hitam.

Bukan itu sahaja, bagi membuatkannya nampak lebih sporty, City dilengkapi apron hadapan berwarna hitam dengan kemasan seperti gentian karbon.

Melihat dari arah sisi, perkadaran rekaan sebuah sedan tiga kotak nyata kemas dengan hud sedikit panjang, rim dua tona bersaiz 16 inci dan perumah cermin sisi berwarna hitam.

Brek belakang kini menggunakan brek jenis cakera dan bukannya gelendong seperti model lama. Satu penambahbaikan yang sememangnya dinanti-nantikan oleh

Di bahagian belakang, perubahan besar diteruskan dengan rekaan lampu lebih nipis yang sporty. Selain spoiler dan air diffuser yang dicat hitam. Senang cakap, sedan ini semakin sporty dan mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya.

Ruang kabin

Kami tidak dibenarkan untuk mendedahkan apa-apa maklumat tentang bahagian ini sehinggalah City rasmi dilancarkan. Tetapi, apa yang saya boleh katakan ialah ruang tersebut kini mempunyai rekaan serta susun atur yang kemas dan lebih mesra pengguna.

Rangkaian kuasa

Inilah antara highlight utama City, sebabnya ia dilengkapi sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dengan dua motor elektrik berkembar. Sebelum ini, teknologi hibrid terkini Honda itu digunakan pada CR-V dan Accord.

Pertama kali dipasang pada City, rangkaian kuasa ini menawarkan janaan 107PS dan tork setinggi 253Nm, paling tinggi dalam kelasnya. Angka tork itu sebenarnya sudah menyamai hamburan kuasa enjin NA 2.4 liter tau.

i-MMD menawarkan tiga mode pemanduan iaitu EV, hibrid dan enjin. Mode itu bagaimanapun beroperasi secara automatik berdasarkan kepada pemanduan dan tidak memerlukan sebarang campur tangan daripada pemandu.

Sistem e:HEV itu dipadankan dengan enjin twin-cam (DOHC) 1.5 liter i-VTEC baharu. Enjin aspirasi biasa itu ialah enjin baharu yang sama seperti di pasaran Eropah dan dipadankan dengan kotak gear CVT.

Berbeza dengan Thailand, kita tidak mendapat enjin tiga selinder turbo 1.0 liter berkuasa 122PS dan tork 173Nm. Jangan sedih, sebab rangkaian kuasa sedia ada sebenarnya lebih berkuasa.

Sama ada Honda Malaysia akan menawarkan varian enjin 1.0 liter turbo, kita tunggu sahajalah.

Pengendalian dan prestasi

Di litar MIMC, saya turut diberi peluang memandu City Hybrid (generasi sekarang) dan Toyota Vios.

Sebagai sedan yang memiliki kuasa tork setinggi 253Nm, City Rs rasa begitu ringan dan pantas. Kuasanya dapat dirasai hampir serta-merta dan bunyi enjin + CVT tidak terlalu ketara berbanding City Hybrid.

Olengan badan City RS juga minimum. Jentera itu rasa lebih melekat di atas jalan terutama sewaktu mengambil selekoh pada kelajuan tinggi. Sterengnya rasa lebih responsif dan tidak terlalu ringan. Ini memberi lebih keyakinan kepada pemandu.

Kestabilan jentera itu banyak disumbang oleh penggunaan inner frame pada kerangka badan.

Maksudnya, kerangka dalaman bahagian sisi City dicantum terlebih dahulu sebelum kerangka lain dicantum. Proses tersebut menjadikan kerangka lebih tegar yang kemudian diterjemahkan kepada pemanduan yang mantap.

Kenapa City RS lebih senyap? Sebenarnya tahap NVH sedan itu 33 peratus lebih bagus berbanding model sebelumnya. Antara penambahbaikan yang dilakukan oleh Honda adalah dengan menggunakan Spray Foam pada bahagian tengah badan City.

Walaupun kadar aplikasi Spray Foam tidaklah terlalu banyak, tetapi perubahan yang diberikannya cukup ketara.

Keselamatan

Ini satu lagi aspek yang membezakan City dengan pesaingnya yang lain. Honda Malaysia mengesahkan bahawa City RS akan dilengkapi sistem keselamatan Honda SENSING.

Ia terdiri daripada Adaptive Cruise Control (ACC), Auto High Beam, Forward Collision Warning, Collision Mitigation Braking System, Lane Keeping Assist, Road Departure Mitigation dan Lane Departure Warning.

Cuma apa yang hilang ialah ciri Low Speed Follow. Jadi, anda tidak boleh membiarkan sistem untuk menekan brek dan pendikit minyak ketika berada dalam kesesakan jalan raya, seperti memandu CR-V dan Civic varian paling tinggi.

Selain Honda SENSING, City juga dipasang dengan sistem Honda LaneWatch. Ciri itu membolehkan pemandu melihat titik buta pada sebelah kiri kenderaan apabila isyarat membelok diaktifkan. Ia pastinya membuatkan pemanduan lebih selamat.

Akhir kata

City RS menawarkan banyak ciri yang pertama dalam kelasnya. Bermula dari segi rangkaian kuasa, ciri kemudahan hinggalah aspek keselamatan.

Untuk menjadi pilihan pengguna dalam segmen yang sangat kompetitif ini, City perlu tampil yakin dan menyerlah.

Dan itulah yang ia tawarkan dalam varian RS ini.

leave your comment


Your email address will not be published. Required fields are marked *

×
MrAutoDIY Ads Viewed